GA VENDING @ MEDIA

Keselamatan dan Kebersihan Air Dari Mesin Jual Air (Water Vending Machine) 

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil serius isu keselamatan dan kebersihan air dari mesin jual air di pasaran. KKM ingin memaklumkan bahawa Peraturan 360C(4), Peraturan-Peraturan Makanan 1985 di bawah Akta Makanan 1983 memperuntukkan tiada sesiapa boleh mengendalikan mesin jual air bagi maksud perdagangan atau perniagaan melainkan jika ia dilesenkan oleh KKM. Peraturan tersebut telah diwartakan pada 24 September 2012 dan penguatkuasaan terhadap peraturan tersebut akan bermula 1 Januari 2016. Dalam hal ini, KKM telah memberi masa untuk pihak industri mematuhi peraturan tersebut. Justeru, pihak industri digesa supaya tidak menunggu sehingga saat akhir untuk memohon lesen tersebut.
Sehingga kini, sebanyak 2540 permohonan lesen berkaitan telah diterima di seluruh negara. Daripada keseluruhan jumlah tersebut, sebanyak 59 permohonan telah diluluskan dan mendapat lesen manakala, 2481 permohonan masih dalam proses untuk mendapat kelulusan.
Namun begitu, KKM telah menjalankan penguatkuasaan Peraturan 360C(3), Peraturan-Peraturan Makanan 1985 berhubung standard bagi air dari mesin jual air dan Peraturan 55, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 berkaitan kebersihan dan pengendalian mesin jual air. Dalam tempoh dari bulan Ogos 2014 sehingga kini, sebanyak 630 mesin jual air telah diperiksa di seluruh Negara dan sebanyak 786 sampel air telah diambil daripada mesin jual air tersebut. Hasil pemeriksaan dan pensampelan yang dijalankan, sebanyak 22 mesin jual air telah disita di mana empat (4) daripada mesinjual air berkenaan disita kerana gagal mematuhi Peraturan 55, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, 10 mesin disita kerana gagal mematuhi Peraturan 360C(3), Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan lapan (8) mesin disita kerana melanggar Seksyen 17(1)(d), Akta Makanan 1983.
KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna. Sekiranya pengguna merasa ragu-ragu dengan tahap kebersihan sesebuah mesin jual air, pengguna boleh membuat aduan kepada KKM melalui Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) http://fsq.moh.gov.my atau facebook BKKM www.facebook.com/bkkmhq.
YB Datuk Seri S. Subramaniam
Menteri Kesihatan Malaysia
26 Ogos 2015

#gavending

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

BERAPA KEUNTUNGAN JIKA BUAT BISNES VENDING MACHINE?

TAK CUKUP MODAL UNTUK BUAT BISNES VENDING MACHINE?

3 CABARAN YANG DIHADAPI OLEH USAHAWAN VENDING MACHINE